BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, September 28, 2009

Banyakkan Ajakan, Kurangkan Ejekan...........


RAMAI orang minta orang lain berubah. Anak-anak mesti berubah. Remaja sering ditanya kenapa berdegil tidak mahu berubah-ubah? Malah, ada juga orang bertanya kenapa ekonomi tidak berubah, politik pun macam dulu tidak berubah-ubah. Pendek kata, semua kena berubah.

Sebenarnya rahsia perubahan bermula dengan mengubah diri sendiri. Jika mahu ubah keluarga, ubahlah diri dulu. Jika diri berubah barulah keluarga terubah, masyarakat berubah, malah hendak ubah negara pun ubahlah diri sendiri. Jika hendak ubah orang lain tetapi kita tidak ubah diri kita, orang akan ketawakan kita. Maksudnya asyik memikirkan kesalahan orang, keburukan orang, kelalaian orang tetapi lupa untuk membetulkan diri. Kita berani membuka keaiban orang, membincangkan keburukan orang tetapi jarang berani melihat keaiban diri sendiri. Tidak ramai orang berani mengakui kelemahan diri. Amat sedikit orang berterima kasih apabila ditegur dan dinasihati, sedangkan agama Islam didasari dengan saling nasihat menasihati. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya agama Islam itu nasihat.”


Kita perlukan remaja dan pemuda yang hebat untuk mewarisi negara dalam menghadapi cabaran global yang kompleks. Remaja yang berjiwa besar ialah remaja yang boleh menerima dan berkongsi kekuatan dengan orang tua berpengalaman. Orang tua yang hebat juga ialah mereka yang memahami dan menghormati perasaan remaja. Pendek kata, mereka yang berjiwa besar menjadi ejen pengubah dan perubahan datang daripada diri sendiri. Inilah calon orang-orang besar. Kegigihan mengubah diri sendiri membuatkan orang lain melihat dan merasakannya, malah memberi pengaruh pada orang di sekitarnya. Dia menjadi dorongan serta simpati juga untuk berubah. Kita tidak boleh menguasai hati orang untuk berubah dan orang pun susah untuk menguasai diri kita. Paling penting kita menggunakan kekuatan yang ada untuk dimanfaatkan orang yang rapat dengan kita.

Mula-mula ubah diri kita, isteri kita, anak-anak kita. Jika semua bertindak proaktif begini tersebarlah perubahan itu. Ramai orang berkata “susahnya hendak ubah remaja” , “isteri degillah” , “pekerja keras kepalalah.” Jawapan sebenarnya ada di dalam diri kita, asalkan jangan terlebih dahulu menyalahkan orang lain. Memang mereka pun ada salah, tetapi kita pun ada silap juga. Mungkin cara penyampaian yang tidak kena. Kekuatan mengajak memang disuruh tetapi jangan lupa kekuatan 'memberi contoh' amat penting. Rasulullah s.a.w. diutus untuk mengajak dan memberikan contoh baik. Kita pula banyak mengajak tetapi kurang memberi contoh yang baik.

Sunday, August 16, 2009

BALA' ATAU UJIAN ALLAH S.W.T


PERINGATAN DARIPADA ALLAH S.W.T


Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai satu virus yang berbahaya, yang sekali lagi menyerang penduduk dunia. Virus tersebut ialah selesema khinzir. Virus atau wabak ini sempat membuatkan manusia cemas dan hidup dalam ketakutan. Mana tidaknya, virus ini boleh menyebabkan kematian yang tidak dijangka-jangka. Dan duhulunya ia dikenali sebagai selesema burung. Kini, virus itu menyerang sekali lagi. Kali ini, khinzir merupakan alat penyebar virus tersebut. Alhamdulillah, kita sebagai umat Islam diharamkan daripada memakan daging babi dan mengambil manfaat daripadanya. Tidakkah kita terfikir makna yang tersirat daripada pengharaman tersebut? Manusia pada zaman dahulu tidak dapat mengkaji keburukan daripada memakan daging khinzir. Akan tetapi, teknologi kini semakin canggih. Teknologi sains pada zaman kini telah membuktikan dan membongkar rahsia pada daging khinzir. Ternyata, daging khinzir sememangnya membawa keburukan kepada si pemakan. Dan ianya boleh membawa pelbagai penyakit yang berbahaya pada jangka masa yang panjang. Benarlah apa yang dikatakan di dalam Al-Quran selama ini. Saban hari angka kematian semakin meningkat akibat virus pada khinzir ini. Tidakkan kita berfikir bahawa kita umat yang paling beruntung?Ketika mana virus ini menyerang penduduk di Eropah, seorang tokoh di Malaysia dengan begitu yakin menyatakan bahawa virus ini tidak akan masuk ke Malaysia. Tidak lama kemudian virus tersebut telah mula menyerang penduduk negara jiran kita Thailand. Bagaimana anda boleh sebegitu yakin berkata sedemikian? Sedarlah, virus ini merupakan sebahagian daripada tentera-tentera Allah S.W.T yang akan menyerang manusia dengan perintah Allah ketika mana manusia lalai dengan kehidupan di dunia. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Fath ayat ke 4 yang bermaksud:"Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."Ya, virus ini merupakan tentera daripada Allah yang ditugaskan untuk memberi peringatan kepada manusia agar tidak leka dengan kehidupan di dunia. Pernahkah kita mendengar kisah Namrud? Seorang raja yang angkuh dan takbur tetapi akhirnya ditewaskan dan mati di tangan seekor nyamuk! Seekor nyamuk yang kecil sahaja sudah cukup untuk membunuh seseorang. Semua ini dengan perintah Allah yang maha kuasa. Ingatlah, setiap yang hidup pasti akan merasai mati apabila tiba masanya. Dan mati tidak sesekali akan menunggu kita. Dan mati juga tidak akan dilewatkan walaupun sesaat bila tiba masanya. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anbiyaa' ayat ke 35 yang bermaksud: "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). dan hanya kepada kamilah kamu dikembalikan." Pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, adakah kita sudah sedia untuk menghadapi mati?